SEGi College Subang Jaya (SEGi) baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian bersama School of Skills (SOS), CKL Group. Perjanjian ini bertujuan untuk membuka peluang kepada para pelajar dari SOS untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari. Selain daripada menawarkan yuran yang berpatutan kepada pelajar SOS, SEGi juga akan memberikan peluang akademik bukan hanya di peringkat Diploma tetapi juga di peringkat Ijazah dengan kerjasama University of Sunderland, UK. Kerjasama ini juga akan membuka pintu kepada fakulti dari kedua-dua institusi untuk terlibat dan bertukar idea serta kepakaran. Di samping itu, kerjasama ini turut memberi peluang mencipta kesedaran untuk projek jangkauan sekolah yang berfokuskan pada teknik dan teknologi automotif.
Turut hadir untuk merasmikan majlis tersebut ialah Encik Calvin Chan, Pengetua, SEGi College Subang Jaya; Encik Clement Lim, Pengarah Urusan Bersama CKL Group; dan Encik Ken Foo, Ketua Pengarah Operasi School of Skills.
Calvin Chan, Pengetua, SEGi College Subang Jaya mengatakan, “Kerjasama ini memainkan peranan penting untuk melengkapkan generasi masa depan dengan kemahiran penting yang diperlukan untuk cemerlang dalam kerjaya mereka. Kami memberi penekanan yang tinggi untuk menarik minat pelajar melalui pendekatan pengajaran dan pada masa yang sama memupuk kemahiran penting seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan komunikasi.”
“Tujuan kerjasama dua hala ini adalah untuk memberi kesedaran di kalangan belia dan generasi akan datang di Malaysia, secara khusus dalam bidang kejuruteraan. Objektif kami untuk mendorong minat mereka memasuki alam pekerjaan dalam industri automotif, yang merupakan sebuah pasaran pesat berkembang, bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Fakulti Kejuruteraan, Alam Bina, dan Teknologi Maklumat (FOEBEIT) SEGi memberi penekanan terhadap pendidikan berpusatkan pelajar yang disampaikan melalui kaedah inovatif dengan menggunakan kemudahan terbaru dan canggih. Di SEGi, pelajar dilatih untuk meningkatkan pengetahuan yang berkaitan dengan industri melalui akses ke makmal dan bengkel untuk mengembangkan kemahiran kejuruteraan mereka. Program akademik di SEGi dirancang untuk memenuhi keperluan industri automotif yang didorong oleh Revolusi Industri (IR) 4.0.
Clement Lim, Pengarah Urusan Bersama CKL Group mengatakan, “Kerjasama SOS – SEGi adalah kunci bagi pelajar kami untuk mengenali nilai-nilai yang dibawa oleh SOS untuk masa depan mereka. Bersama SEGi, kami dapat menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada satu cara untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan iaitu melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini adalah inisiatif yang kami tekankan, terutama sekali semasa pandemik COVID-19 ini untuk memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar kami.”
“Dasar Automotif Nasional Malaysia (NAP) 2020 terbaru telah menyusun semula pelan tindakan bagi menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju. NAP 2020 mensasarkan untuk meningkatkan industri automotif Malaysia dalam era transformasi industri digital dari 2020 hingga 2030, sehingga membolehkan Malaysia mampu mewujudkan “Connected Mobility”. Hal ini sekali gus mampu mendorong pertumbuhan baru melalui integrasi teknologi yang bersesuaian dengan IR 4.0,” tambahnya lagi.